Saya cukup tak berkenan nak melenting pagi-pagi ni tau. Toksah kan pagi, kalau boleh siang malam pagi petang saya cukup tak gemar lah nak melenting-lenting. Untung juga saya bukan dari suku kaum yang mudah melenting. Sebab saya pun tak tau suku kaum apakah yang mudah melenting itu.
.
Akan tetapi pagi ini saya termelentingkan diri apabila membaca komen di dinding Facebook seorang sahabat. Sudah agak lama saya tidak memilih untuk melenting-liuk kan jiwa saya dengan isu yang sangatlah sensitif terhadap saya ini. Isu perkauman.
.
.
Apa yang ditulis di dinding Facebook sahabat saya itu, malu hendak saya salin dan tampalkan di blog saya ini. Buruk benar bunyi nya apabila manusia menilai sesama manusia hanya dengan warna kulit, bau badan dan bahan yang digunakan untuk mencuci punggung.
.
Pada dasarnya kawan kepada sahabat saya itu menyimpulkan bahawa orang berbangsa seperti bapa saya semuanya mempunya bau badan yang menusuk hidung, manakala orang berbangsa seperti emak saya pula semuanya pengotor kerana mencuci diri selepas membuang air besar hanya menggunakan tisu tandas. Bukan air.
.
Seperti kata pepatah, “Kita adalah apa yang kita makan.” saya percaya bau badan memang merupakan masalah sejagat. Apatah lagi kita ini “Menginjak di bumi yang sama, bernafas pada udara yang sama.”
.
Mahu atau tidak jika saudara berdiri di sebelah saya di dalam LRT dan badan saudara berbau seperti cendawan yang telah ditumbuhi kulat (sudahlah cendawan, berkulat lagi), saya tidaklah pula akan memeriksa bangsa apakah saudara itu. Sesungguhnya hidung saya tidak dilengkapi dengan alat pengesan bau yang dikategorikan mengikut suku kaum di Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak.
.
Sayugia diingatkan bahawa sekiranya kobis dan rempah boleh menyebabkan bau badan, orang-orang berbangsa Russia sepatutnya akan menjadi juara bau ketiak. Kerana mereka sangat gemar makan sup kobis. Masakan mereka juga sangat kaya dengan rempah, bawang merah, bawang putih dan bawang warna lain, jika ada.
.
Tetapi tidak semua ketiak yang saya terpaksa cium sewaktu berasak-asak di dalam keretapi Metro itu berbau kobis. Malah kebanyakannya berbau Hugo Boss, Calvin Klein dan Davidoff. Paling tidak pun berbau Hibka atau yang sebangsa dengan Hibka.
.
Sama juga ketika duduk bersantai di dalam MRT di Singapura untuk pergi menonton wayang Yasmin Ahmad dahulu. Bau harum yang membahagiakan hidung saya tidak dapat saya pastikan datangnya daripada bangsa yang berwarna apa. Putih kah, kuning kah, perang kah, kelabu kah, hitam kah, rangabirangi kah.
.
Maka oleh itu saya tidak dapat menerima kenyataan bahawa bangsa berkulit gelap seperti bapa saya dikatakan berbau badan paling menyiksa kan. Tidak dapat dinafikan saya masih ingat bau ketiak bapa saya ketika beliau pulang dari padang tembak dan padang kawad. Memang menyedihkan saya dan kakak saya bila dipeluk oleh beliau sepulang dari kerja. Tetapi selepas saja beliau mandi, ternyata beliau lebih wangi daripada sebotol bedak Cuticcura.
.
Seterusnya jika saya mahu bercakap soal kebersihan, oh emak saya orangnya sangatlah pembersih. Beliau sangat cerewet tentang kebersihan punggung beliau, punggung saya dan punggung semua orang yang beliau ada hak untuk merotan di dalam rumah beliau dulu. Beliau pernah ditanya tentang ‘hukum’ mencuci punggung dengan bahan selain daripada air. Beliau menjawap dengan soalan:
.
“Kalau di tempat yang tiada air seperti di padang pasir, adakah anda akan menggunakan air liur atau air mata? Apakah instinjak itu panduannya dibuat untuk umat yang duduk di tempat berair sahaja? Jika tiada air, gunakan lah walaupun daun kering. Malah batu. Inikan pula kertas lembut yang wangi. Apakah yang lebih baik daripada kebersihan?”
.
Saya mendengarkan jawapan emak saya sudah tentulah terbayang bagaimana orang yang sanggup punggungnya berselemus (berlumur) najis daripada membersihkan nya dengan tisu tandas! Oh ampunkanlah mereka itu yang anti tisu tandas dan telah mempolitikkan isu tisu tandas ini demi kepentingan bangsa.
.
Rasanya sudah beberapa kali saya melenting soal perkauman ini. Dan sudahnya seperti biasa kesimpulan saya tetap satu. Kita didatangkan ke dunia ini bukan seperti memesan makanan di Old Town Kopitiam, boleh membuat pilihan dengan menandakan Kopi Putih atau Hitam, Mee Bandung atau Mee Siam, Nasi Goreng Cina atau Roti Benggali.
.
Tetapi akan kita tinggalkan dunia ini dengan hanya dua bangsa pilihan sendiri:
- Bangsawan yang terhormat
- Bangsat yang laknat
.
Yaaaa, mari pilih mari pilih mari pilih mari pilihhhhhhh!
.
kak, been reading here quite regularly.
selalu tu baca aje but this time, must comment.
a good point from a kind hearted lady.
anyway, i’m nina’s SIL and I went to your house for a birthday party i think sometimes last year? or 2 yrs back.
keep writing kak.
Hey there Wani, Nina’s SIL! How are you doing? Thank you so very much for reading. You came to my house for a birthday party? Hmmm I can’t recall having a birthday party at my place in Kajang. But when I lived in Ukay Heights I did throw a birthday party (and I was, at that time, heavily pregnant.)
Regardless,
Thank you for leaving your comment too, Wani. I will keep on writing as long as you can keep on reading! 🙂
Good one. 🙂