Sedang saya mengupas bawang untuk memasak rendang cendawan tiram raja pagi ini, saya mencari ilham untuk sepucuk surat yang belum saya tulis. Tapi yang terlintas di fikiran saya adalah pelbagai persoalan tentang penjodoh bilangan “sepucuk surat”.
Kenapa surat saya di pucuk? Kenapa bukan di kuntum? Kalau isinya datang dari hati yang berbunga, apakah ia akan menjadi sejambak, sejambangan? Tak bolehkah saya menulis sekuntum puisi yang wangi dan bukan sebuah puisi yang manis untuk si buah hati? Bukankah sebuah hati itu, kalau hancur akan berkeping-keping jadinya?
Akhirnya yang membawa saya kembali ke realiti adalah sepohon selasih yang baru saya beli. Saya tanam semula dalam pasu cantik di sudut jendela. Bukan di hujung halaman. Dan bukan lambang percintaan.



Leave a comment