Kepangkuan Abang Ramlee yang dinda kasehi…
Rindu dendam di-jiwa dinda kini lebih dari semalam, kemaren, kemaren dulu, minggu lepas, tahun lepas, malah lebih dari tahun 1948. Yakinlah Abang Ramlee, bahawa kaseh sayang dinda jauh lebih hebat dari chinta sekalian bloggers yang ada di ini zaman. Apa pun yang terjadi, dinda tetap mendoakan semoga Abang Ramlee baik-baik sahaja hendaknya. Abang Ramlee…kalau dinda nak tanya Abang Ramlee satu soalan, Abang Ramlee jangan marah ya? Siapa marah nanti kena jual. Kalau Abang Ramlee nak marah jugak, dinda nak merajuk. Tapi sebelum dinda merajuk, dinda nak gigit Abang Ramlee dulu. Ah Abang Ramlee ni. Nakal!
.
Begini soalan dinda…
Abang Ramlee, Abang Ramlee…kalau dinda terbawak-bawak daydreaming kan Abang Ramlee sampai ke lewat malam, apa bolehkah dinda di-sebut sebagai daydreaming lagi Abang Ramlee? Padahal sang suria sudah lama sembunyi di-telapak kaki langit. Dan bulan sudah pun di-pagar bintang. Mau saja rasanya dinda menchipta istilah baharu angan-angan dinda sampai larut malam begini sebagai nightdreaming. Alaaaaa Abang Ramlee ni, janganlah ketawakan dinda begitu!
.
Tetapi memang benar bagai di-kata, hati dinda langsung tidak dapat melupakan wajah Abang Ramlee yang datang menyamar dalam versi orang putih yang dinda jadikan suami hampir satu abad yang sudah. Dinda mohon berbanyak-banyak ampun dan maaf dari Abang Ramlee bukan kerna dinda memuja-muja akan diri Abang Ramlee. Tetapi kerna dinda benar-benar tidak pasti akan maksud ‘abad’ itu berapa tahun sebenarnya. Samakah ia dengan ‘dekad’ atau ‘kurun’ ya Abang Ramlee? Maklum sajalah Ilmu Hisab dinda tak khatam belajar dari Che’gu Murni.
Oh Abang Ramlee, penawar rindu dinda hanyalah pada Abang Ramlee saorang. Kalaulah rindu dinda ini pohon yang rendang, sudah tentu tuan direktor filem Ikan Kaloi tak dapat menggantung buaian ‘laju-laju buaiku laju lepas masak jangan lupa cari kayu’ itu untuk filem beliau kan Abang Ramlee.
.
Umpama pohon beringin yang dinda angan-angankan sejak lama:
.
Pohon rendang di-mana tunduknya,
Kalau bukan di-taman dewa,
Mohon sayang di-mana duduknya,
Kalau bukan di-dalam jiwa.
.
Abang Ramlee… aku chinta padamu.
.
.
.
*Surat chinta ini hendaklah dibaca dengan penuh rasa kaseh sayang terhadap Abang Ramlee, seraya mata sedari seakan terpejam-pejam celik di-luar batasan, dan sekali-sekala menjeling manja ke arah screen laptop atau PC sedari-sedari sekalian. Sudah tentulah di-ujung perenggan pertama tadi sedari musti mencholek pipi Abang Ramlee dengan penuh berahi getik menyebut perkataan “Nakal!” tersebut. Tak lupa juga hendaklah tertunduk dan tersipu-sipu malu dihiasi senyum simpul Nona Baju Kebaya dengan sanggul dua yang terasa chukup lawa. Enough Enida!
.
Huh! Alangkah bagusnya kalau I ni si Abang Ramlee tu … he he he
caya lah !