Cik Nan,
Saya dapat sms awak terus tak boleh tidur. Terus rasa nak bergebang, maka… awak satu laman je sms, saya enam! Alih-alih, daripada saya mengkayakan syarikat talipon Megafon yang dah sedia kaya, baik saya menulis blog untuk awak. Ni lah dia penangan sindrom rumahsakit [read: homesick] yang dialami Cik Nid! Tapi saya memang homesick tahap baboon – tahap yang a few thousand darjats lagi hebat daripada tahap gaban yang digunapakai dan disukaguna di Facebook kebelakangan ni.
Yang paling tak tahan bila homesick ni tekak le seperti biasa. Mula-mula sekali macam dalam text saya tu, dan dah beberapa hari lately ni tekak saya rasa nak makan Mee Goreng Mamak jeh. Dah bosan tahap baboon alpha male makan kentang. Walaupun kentang tu saya buat sambal goreng ke, kari hijau ke, masak merah dengan ayam kampung Surgut ke. Well, not that I eat potatoes everyday pun.
Pokoknya apa saja yang saya masak saya dah bosan. Kentang ke, nasik ke, termasuklah angry noodles that won’t wound my stomach. Semua tak sedap, semua tak selera sebab semua masakan saya sendiri. Saya nak mamak jugak yang masakkan untuk saya. Mamak comot pun comot lah. Tangan berbulu lebat pun wa tak heran na. Asalkan bukan tangan saya dua kerat ni yang memplong-plang kuali.
Lepas tu bila dah abis berangan Mee Goreng Mamak hensem mata kelabu kat Jalan Ampang, saya homesick terkenang sesi kopitiam kita kat The Curve tahun lepas pulak. Sesi kopitiam adegan yang biasa kita lihat antara Cik Nan-Cik Nid, makan 2 keping roti kaya tapi duduk bergebang sampai ahpek ahso nak tutup kedai pun kena dial 911 mintak bomba datang kerat bangku tempat kita duduk suruh kita bawak balik je lah bangku tersebut.
Yang peliknya saya miss se’sangat kopitiam punya telur rebus separuh masak, tapi tiap kali saya turun sarap, yang keluor cold cereal dengan susu beras trademark saya tu. Tak tercapai pulak dek tangan saya ni akan pintu esboks mengambik telur barang 2 butir masuk koley air panas selama 12 minit. Padahal telur bersepah kat Kedai Kak Pokrovskiah kat tepi gate Bukit Pokrovsky tu haa. Punya banyak telur sampai bertelur Kak Kiah nak mengabiskan stok telur ayam Surgut beliau itu kengkadang.
Oh ha, cakap pasal Kedai Kak Kiah yang lokasi nya terletak betul-betul sebelah sekolah montessori yang Edrick akan masuk balik kelak, Rabu ni saya antor dia masuk balik sekolah. Dapatlah saya berkhalwat dengan diri saya sendiri selama 4 jam setiap Senin, Rabu dan Jemaat mulai minggu ini. Dah sekian lama saya tak berkesempatan nak duduk-duduk, baring-baring, belai-belai diri saya sambil potong-potong kuku, cabut-cabut bulu dan picit-picit jerawat dengan santainya serta tak perlu memakai jam randik.
Kalau saya guna perkataan berkhalwat dalam status Facebook saya, apa gamaknya orang fikir ye Cik Nan. Sebelum saya ditangkap basah dengan diri saya sendiri, baik saya jangan guna perkataan berkhalwat. Baik saya guna istilah bersunyi-sunyian jeh. Ni lah saya konon orang Malaysia nak cakap Arab. Elok-elok tajuk lagu ‘Akukah Yang Terlewat’ karang terus jadi ‘Akukah Yang Terliwat’ kalau tak reti eja. Tersinggung Royston Sta Maria yang kuminati itu jadinya nanti.
Naah, cakap pasal Royston Sta Maria dengan lagu beliau ‘Akukah Yang Terlewat’… saya baru-baru ni memang terkenang se’sangat lagu tersebut:
Masa tu tengah berdriving dengan Be and Monchies keliling-kelalang Moscow cari tempat nak makan Kuey Teow Goreng ke, Laksa Singapore ke. Siap sempat saya Google lirik lagu ni kat Megaphone saya okay, jiwang karat tak karat homesick nya! Pakkal tak nampak sebijik pantai pun kat tetengah bandor bersalji masa tu, kalau tidak… mau saya terisak-isak menangis sambil membiarkan airmata menitik sedih jatuh berderai.
Bila dah teringat lagu ‘Akukah Yang Lewat’ nih, mulalah saya teringat Majalah Dewi Remaja zaman 80’an dulu. Dalam majalah tu saya ingat ada satu cerpen bertajuk “Cintanya Terdampar Di Pulau”. Pehhhhh! Penulisnya Aliah Ahmad kalau tak salah saya. Kalau salah, saya tak tau lah apa yang betulnya kecuali kalau ada yang tolong betulkan. Kalau tak ada yang ingat, tak payah lah betulkan. Kalau ada yang ingat tapi tak nak tolong betulkan, tak payah. See if I care.
But anyway, ceritanya digandingkanlah konon dengan lagu Roy ni. Saya pulak memang sedia sentimental, romantik dan jiwang tahap dewi remaja masa tu. Tiap kali baca cerpen tu pasang lagu, baca je pasang lagu, baca je pasang lagu, baca je pasang lagu. Well, you get the drift lah kan. Menangis macam anak ayam Surgut hilang mak sebab mak dah kena potong dan kena steam oleh Kak Kiah. Tapi memang terbukti… anak kalau hilang mak, dia akan menangis tangisan yang paling sedih pernah anda lihat. Macam yang berlaku pada 7hb Oktober 2009 bila saya hilang mak. Anak ayam Surgut pun tak boleh lawan sedih saya.
Bila cakap pasal mak saya, saya mesti akan ingat lagu-lagu yang mak saya suka. Sebab tu lately ni kalau awak tengok Facebook saya asek berlagu jeh. Mak saya kalau bab lagu, pehhhh… boleh bukak bank punyalah kaya ingatan beliau ni. Pernah sekali kawan saya yang nak membuat pertunjukan pentas menyanyi lagu Pop Yehyeh tapi tak ingat lirik. Saya angkat jeh talipon tanya mak saya yang masa tu tengah menggulai ikan haruan di dapur, beliau terus petik baik punya! Lagu tersebut ialah yang bermula begini: “Hari ini kau datang riang, tersenyum buatku senang…” Nah cobaklah kaok nyambong nya kalok brani.
Bila dah banyak sangat saya menonton YouTube lagu-lagu lama kebelakangan ini, baru saya perasan anak dara saya sekarang bercakap mengikut gaya orang Singapura zaman lama kalok berchakap. Malah sekarang kalok dia maok berchakap sama saya, dia maok panggil saya ‘Emak’. Mujurlah belum lagi dia berchadang menukar namanya kepada ‘Puspawangi’ macham felem Musang Berjanggut sambil berjalan di hadapan bapaknya, “Pak pak, dara tumpang lalu ya pak?” Sebab bapaknya pun tak tau namanya ‘bapak’.
Sudahlah dulu ya Cik Nan, kejap lagi Cik Nid nak ke ladang tanam kachang, jangan bimbang, hati senang. Walaupun saya bergebang, berstatus dan berkomentar di Facebook dengan seluruh dunia tujuh gunung sembilan lautan macam dunia ini ana yang empunya, kawan-kawan yang dekat di hati saya boleh dikira dengan jari sebelah tangan. Dan pada saya, awaklah ibu jari. Tak kanan, kiri.
hari ini kau datang riang tersenyum buat ku senang.kau hias diri mu, membuat hati bertambah sayang.tapi mengapa wajahmu muram? mengapa dewi mengapa?
🙂
Wah, brani kao ya! Hampir tepat jugak sambongan kao itu kechuali: “…Tapi mengapa wajahmu muram?…” itu korang tepat. Yang asli lagi tulin yalah: “…Tapi wajahmu semalam muram…” Ya, bagitu. Ini Enida cherewetnya macham nak mamposs daaaa. Ihihiiiihii. 🙂
Terima kasih sedari Ida kerana berani mencuba nasib sedari di dalam rancangan Siapa Berani Sambung Lirik Lagu Yang Mak Enida Ingat Dulu-Dulu Tu Ha? (cue penonton untuk bertepuk tangan sekarang)