Ada cerita sebenarnya yang nak saya kongsikan bebelkan. Ya bebel. Kalau kongsi, saya terpaksa mengambilkira perasaan anda. Kalau bebel, suka hati saya dan boyfriend saya lah apa nak tulis. Eh, ada boyfriend? Aiii sejak bila ada boyfriend ni? Ye lah, kalau saya nak sebut suka hati ‘mak bapak’ saya, saya dah tak ada mak. Kalau saya sebut suka hati ‘bapak’ saya, bunyi macam so langsi loh. Kenot. Boyfriend tu bunyi macam nakal sikit. Auw! Mengada.
.
Ceritanya ialah tentang orang yang berkata-kata tak memikirkan harga diri dan masa depan. Waktu marah, terutamanya. Kita ni manusia memang mudah marah. Kena suruh, marah. Kena tegur, marah. Kena kerja lebih, marah. Kena bayar mahal, marah. Lambat sikit, marah. Susah sikit, marah. Lapar, marah. Tak sedap, marah. Tak sayang, marah. Cemburu, marah. Penat, marah. Lupa, marah. Sedih marah. Marah pun marah.
.
Bila kita marah, kita nak semua orang tau kita ni marah. Hello! Tak nampak ke kening bercantum ni? Tak nampak hidung kembang kempis menahan nafsu amarah ni? (Marah pun ada nafsu, kan?) Dan bila kita marah, kata-kata kita selagi boleh hendaknya yang menyakitkan hati semua yang mendengar. Kalau suara kita boleh mencapai kawasan 60 hingga 100 batu radius, lagi bagus. Begitu kuatnya suara. 100 batu, ya. Bukan kilometer. Biar bergelombang macam tsunami. Biar!
.
Kalau ada yang prihatin, datang dekat bertanya kenapa kita marah, memujuk kita dengan baik… hah! Siaplah dia! Konon-konon kita nak dibiarkan bersendirian sampai hati sejuk sendiri. The “leave-me-alone” approach, cik main. Tapi kalau sempat sembur, sumpah, sepak dan sigung dulu orang yang prihatin dan memujuk tu, lagi puas sebenarnya kan? Nah kau! Siapa suruh kau pujuk aku? Ada aku kesah?
.
Dan bila semuanya reda… harap-harap kita sedar bahawa marah itu adalah satu formula, iaitu Tenaga = Kuasa darab Masa. Memang kuat betul Tenaga kita menghempas barang bila marah sebenarnya. Cuba hempas laptop anda semasa marah dan semasa tidak marah. Ya, rasakanlah perbezaannya. Kuasa pula sememangnya di tangan kita kerana hanya kita yang merasa bagaimana rasanya jadi kita. Orang lain apa tau? Manakala Masa adalah sesuatu yang absurd ketika marah. Apatah lagi jika jam di dinding rumah telah hancur bersepai bersama laptop yang dihempas dengan penuh Tenaga itu tadi.
.
Saya pernah tinggal serumah dengan seorang yang pemarah. Apabila beliau marah, saya ini menjadi mangsa kata-kata beliau. Hilang hapus hancur segala jasa bakti dan kebaikan saya di mata beliau itu apabila beliau marah kepada saya. Seolah-olah saya selama ini cuma makan tidur dan duduk di suatu sudut rumah tidak berbuat apa-apa seperti memasak, mengemas, mencuci, mengelap, menggosok, meraba, membela, membelai, melaram, melawa, mendidik, mengajar, melayan, menidurkan, meniduri dan berbagai katakerja berimbuhan ‘me’ lagi. Memang semua me, me, me.
.
Apabila saya mengambil keputusan untuk meninggalkan beliau serta kemarahan beliau, saya juga lah yang dituduh me-rosakkan perhubungan. Saya me-rasa marah dengan tuduhan sebegitu. Me-mang me-royan saya mendengarnya. Tapi saya marah tidak lah lama. Untungnya saya ini kuat berlari. Saya tinggalkan beliau dan kemarahan beliau itu lapan ribu satu ratus lima puluh tujuh kilometer jauhnya nun di saaana, bah.
.
Sama seperti sewaktu muda dahulu, saya berpacaran dengan seorang yang mudah marah. Belum apa-apa saya sudah ditempik, diherdik dan dibentak serta disuruh ‘pergi mampus’ gara-gara cemburu. Maka saya pun dengan sekuat tenaga amarah saya waktu itu telah meninggalkan beliau di dalam kereta di pinggir Taman Tenaga. Tak menoleh ke belakang lagi. Untungnya saya ini kuat berlari sejak dahulu lagi rupanya.
.
Maka, mungkin kerana masa silam saya banyak disulami dengan cerita orang-orang yang mudah marah… saya perlu beringat dan berhati-hati dengan diri saya sendiri. Bahawasanya marah itu perlu. Ia adalah sumber Tenaga yang sangat besar! Tetapi dengan Kuasa yang ada di tangan saya, serta Masa saya yang singkat di dunia ini, saya sedar bahawa amarah dan kata-kata adalah dua elemen kekuatan manusia yang tidak seiring. Sesungguhnya bagi saya, marah itu pasangannya diam.
.
Mungkin sebab itu saya sekarang sudah kembali menulis. Selama saya diam, ada yang saya pendam.
.
.
yeay you’re back
Brava! Whatever that needs to be said, has already been written, by you. Thank you for giving voice to my love-hate relationship with anger and angst.
Oh the words are all the collection of thoughts, Yang! Yours very lah included nya! 🙂