Setelah hampir tiga minggu, suhu yang berlegar sekitar 20an darjah Celcius di bawah paras beku akhirnya meningkat ke paras tingkatan satu digit Celcius. Tapi masihlah di bawah paras beku. Memang terasa kurang sejuknya. Malah, hampir saya kepanasan apabila terjaga di tengah malam berbungkus baju tidur bulu kambing biri-biri, gebar dan selimut. (Harus disebut bulu siapakah yang membungkusi diri saya. Bulu mink menjadi pilihan utama masyarakat Rusia, bukan bulu unta atau bulu enta.)
Di waktu sejuk memang terasa seperti hendak masuk saja di celah katil dan tilam. Atau lebih hangat kalau boleh masuk saja ke dalam tilam yang barangkali boleh dihasilkan dengan lubang khas. Tetapi Tanjung Rambutan dan Tampoi tiada kemudahan untuk mengangkat dan mengangkut calon penghuni antarabangsa yang menetap di Moscow. Oleh itu saya lupakan saja hasrat saya untuk mengelakkan dari kebekuan tegar dan ilham-ilham rekabentuk tilam yang menggila.
Secara alami, lumrah iklim alam yang masih saya ingati dipetik dari buku Ilmu Alam Fizikal Tingkatan Lima, apabila suhu meningkat seiring kelembapan udara, hujan akan turun. Sesuai dengan musim dingin di Moscow, salji pun turun lebih banyak dan lebih kasar kepingan saljinya berbanding dalam suhu yang lebih rendah. Contohnya, dalam suhu -25°C salji jarang turun dengan lebat kerana udaranya kering. Salji akan turun lebat dan sebesar-besar cekodok pisang apabila suhu kembali ke sekitar -2°C.
Musim dingin, dari pengalaman peribadi saya, merupakan musim yang menyaksikan banyak adegan tekanan perasaan. Bukan sahaja di kalangan orang yang panas baran yang sudah tentulah baran mereka tidak dapat dipanaskan, malah di kalangan orang yang ‘cool’ juga cepat hilang kesejukan hati mereka. Menurut penemuan kajijiwa, kekurangan sinar mentari di Korea mempunyai kesan negatif terhadap jiwa manusia.
Termasuk lah di kalangan bayi, kanak-kanak dan remaja (kerana mereka juga manusia, sebab itulah mereka disebut bayi, kanak-kanak dan remaja. Jika mereka bukan dari spesis homo sapiens, sudah tentu lah mereka akan disebut ‘anak ayam’ dan bukan ‘bayi ayam’, ‘anak lembu’ dan bukan ‘kanak-kanak lembu’, ‘anak badak’ dan bukan ‘remaja badak’.)
Pakar kajijiwa merumuskan bahawa orang-orang yang tidak mendapat sinar sang suria menjelang di pagi hari, ramai orang di seluruh negeri sedang minum Dutch Lady yang cukup akan cenderung terhadap kemurungan. Manakala mereka yang tetap menjalankan kegiatan di luar rumah meskipun matahari tidak begitu teruja hendak bersinar, dapat mengurangkan risiko tekanan perasaan dan kemurungan pada kadar yang luarbiasa. Luar rumah, luar biasa. Dalam rumah, biasa kena tinggal di luar sana bersama matahari.
Bercakap soal kegiatan dalam dan luar ini, saya mendapati bahawa ada satu kegiatan yang jarang diperkatakan oleh pakar kajisifat manusia. Ianya juga berkait rapat dengan kajian ENT (ear, nose and throat). Tetapi sebelum itu tuan-tuan dan puan-puan, tahukah anda bahawa dalam udara yang bersuhu rendah, gelombang bunyi bergerak dengan lebih lancar? Bunyi dapat didengar dengan lebih jelas di musim sejuk. Oleh itu, mereka yang hendak mengeluarkan bunyi-bunyian yang bersifat Biarlah Rahsia – walaupun di tempat yang lapang di luar rumah – wajarlah berhati-hati dengan kegiatan ‘pengeluaran’ mereka. Demikian kupasan topik E (Ear) secara ringkas.
Sebelum beralih ke topik N (Nose), saya ingin menghuraikan topik T (Throat) dahulu. Di musim dingin, kebanyakan orang tidak minum cukup air kerana suhu yang rendah membuatkan tekak tidak mudah merasa haus. Padahal dalam masa yang sama yang haus adalah tandas-tandas dan mendapat air buangan berlebihan kerana kita membesio (bak kata orang Perak) lebih di musim dingin. Lebih daripada kadar biasa. Tekak juga, percayalah cakap saya, tidak sedikit pun mengidam salji yang putih bersih yang boleh dikepal dan dimasukkan ke dalam mangkuk, disiram air gula berpencelup merah F&N, susu isian sejat sejati Ideal atau Carnation, ditabur kacang merah, krim jagung dalam tin, cendol dan kacang tumbuk. Sedikit pun tidak. Hebat sungguh tekak musim dingin ini tuan-tuan dan puan-puan.
Tekak juga, ya belum habis lagi topik tekak kita ni… jadi jangan ke mana-mana, sering saja berasa agak kesat di musim sejuk begini. Barangkali fenomena ini disebabkan oleh suhu rendah yang telah memendekkan jarak antara tekak dengan perut. Apabila perut berbunyi, tekak akan cuba sedaya upaya untuk mendiamkan diri dengan menyumbat sesuatu ke dalam rongga mulut. Memang terasa sunyi alam sekeliling dek kerana semua tekak sedang disumbat agaknya.
Baiklah, beralih kita ke topik terakhir… iaitu topik N (Nose). Saya masih membuat kajian bagi merungkaikan misteri kenapa kegiatan mengorek sangat berleluasa di musim dingin. Kadar lembapan udara yang rendah secara alami menyebabkan hidung menghasilkan rembesan cecair lebih daripada biasa untuk melindungi lapisan kulit rongga hidung daripada menjadi terlalu kering.
Rembesan tersebut didapati mudah kering akibat proses penyejatan. Rembesan yang kering kemudiannya membentuk lapisan kerak nasi pelbagai ketebalan dan warna. Antara warna kegemaran kerak tersebut ialah hijau buruk, kelabu taik hidung anjing, dan perang kemerahan. Pelbagai corak juga dapat ditemui pada kepingan kerak rembesan itu tadi, terbentuk secara semulajadi seperti batik lukisan tangan berkonsepkan abstrak.
Kegiatan mengorek ini malangnya jarang sekali – atau mungkin tidak pernah langsung – disentuh oleh pakar kajihayat atau anatomi. Malah pakar penggaris etika juga setakat ini tidak pernah mengeluarkan garispanduan tatacara mengorek hidung dengan jelas. Memandangkan kegiatan ini sangat semulajadi, serta sama pentingnya dengan kegiatan mengorek periuk di dapur bila larut malam tarakucha tarakucha cha, saya menyeru kepada golongan bijakpandai serta golongan berhemahtinggi supaya dapat menghasilkan buku teori dan metodologi kegiatan tersebut.
Seruan ini saya buat kerana walaupun kegiatan mengorek hidung terdiri daripada kegiatan ala-ala Biarlah Rahsia, masih ramai yang tidak dapat menyembunyikan kenikmatan mereka apabila menjalankan kegiatan itu. Saya sendiri secara peribadi telah melatih diri sejak muda remaja lagi dengan latihan ketat ala komando supaya menjalankan kegiatan gerak khas ini cuma di kamar mandi. Memang bersemangat bersiram dua kali sehari walaupun dalam cuaca 25°C di bawah paras air laut beku, saya mengaku!
Akan tetapi mereka yang mengorek tanpa segan silu dan tanpa batasan amat menggelikan hidung saya. Tambah geli apabila ada yang tidak dapat mengawal diri daripada menggentel, menguli dan menjentik gulungan kerak rembesan mereka di khalayak ramai ala-ala acara lontar peluru Sukan SEA. Oh tidak!
Malah saya pernah melihat dengan mata kepala serta batang hidung saya sendiri seorang yang bukan bayi, bukan kanak-kanak, bukan remaja, tetapi seorang dewasa yang kelihatan cukup umur dan cukup waras sedang menyental kerak rembesan beliau yang basah-basah lembap, suam-suam kuku dan belum cukup kental ke tempat duduk KTM Komuter antara Rawang dan Seremban! Penyental rembesan tersebut telah dilihat turun di stesen komuter Batang Benar dengan tidak sedikitpun rasa bersalah! Saya berpendapat bahawa kerajaan Malaysia wajar mengisytiharkan darurat atau red-alert terhadap isu pengorekan ini dengan kadar ekspress demi rakyat.
Maka sekali lagi saya mengumumkan, permohonan adalah dipelawa daripada pakar-pakar etika untuk bergabung tenaga bersama pakar kajihayat dan anatomi untuk merumuskan kaedah terbaik lagi terhormat bagi kegiatan mengorek hidung. (Rumusan dan kaedah hendaklah bersesuaian dengan pelbagai iklim, musim, time-zone, sudut altitude, sudut latitude, sudut attitude, budaya dan ideologi pembaca.) Mungkin kegiatan ini juga harus ditukar namanya daripada kegiatan Mengorek Hidung kepada Mengerak Rembesan.
Dengan seruan tersebut, izinkan saya mengundur diri. Masa untuk mandi dan mengalunkan lagu…
Pernahkah kau bermimpi seketika
berada di tempatku membayangkan…
Thanks for the biology cum chemistry lesson there Enida. I pun mula2 heran kenapa di negara sejuk hidung ni sentiasa dipenuhi dgn bendasing. Selepas membaca dengan tekunnya penjelasan anatomi daripada you, barulah faham.
Bendasing? Muahahaha! Bendasing dan anasir-anasir yang subversif. Tapi bila banyak bendasing tu kadang-kadang rasa macam banyak pulak hasil tuaian, tak ke? Produktif. 😉
Woohoo! You surely tickle my bones there lovely lady. Mind if I put you in my blogroll?
Hey there Angelina Jolie (mmmhhh! Love the pout!)
Thank you for reading my mengarut post! Hehehe. Oh please do put me on your blogroll. My utmost pleasure! Thank you thank you!
Hahha thanks for the lesson, Enida!!!