Buah cempedak si buah salak,
mari dikaut dek orang kota;
Akal menidak jiwa menolak,
hati terpaut dek kata-kata.
.
Mujur lah patik terbaca pantun lama patik ini, Tuanku. Dan mujurlah pantun patik langsung tak ada kena-mengena dengan perasaan patik yang benar-benar merajuk dengan Cik Dayang Istana Mesra. Sampai hati Cik Dayang kita tak bertanak nasi untuk santapan malam, Tuanku. Sungguhpun patik tak berasa lapar dan cuma berhajat untuk meratah ikan goreng yang ada, apabila patik dapati tiada walau sebutir pun nasi untuk dijamah, patik merajuk sampai menitis airmata hiba.
.
.
Patik tahu patik boleh saja bertanak sendiri. Beras sudah siap bertampi, tungku pun sudah siap berkayu api. Sementara sepenanak nasi, boleh saja patik karang pantun barang tujuh rangkap. Sepenanak nasi, boleh saja patik turun bersiram di perigi biru. Tapi patik… memilih untuk merajuk juga. Kalau tidak kerana nasi melukut dan sayur keladi, entahkan jauh sudah patik bawa diri.
.