Cukuplah dulu.
Kalau nak difikir tentang apa yang saya tak ada, uiii… banyak. Tapi bila difikir tentang apa yang saya dah ada, uiii… lagi banyak! Sebab itu tak sanggup nak merungut banyak-banyak sangat. Takut nanti kalau Tuhan tarik balik kesenangan, walaupun satu, akan terasa susahnya. Ibaratnya kalau Tuhan tarik keupayaan saya melihat, walaupun hanya sebelah mata… menangis bertahun juga saya rasa. Insaf.
.
Rumah… cukuplah dulu dengan apa yang ada. Bukan setakat ada, malah barangkali lebih baik daripada kebanyakan orang lain. Ada, mesra, selesa dan tiada bebanan hutang. Cukuplah dulu walaupun bila terdesak bukan boleh saya jual pun pintu atau daun tingkapnya di Ca$h ¢onverter. Dan bila ada masanya saya ralat dengan mutu binaan Mesra, saya redha di sini lah tempat saya dan anak-anak membina kenangan. Jauh dari bergelandangan. Syukur.
.
Kereta… cukuplah dulu dengan apa yang ada. Elok sifatnya, malah molek sikapnya. Tak banyak ragam walaupun banyak parutnya. Cukuplah dulu saya lenjan dan belasah yang itu buat mencari rezeki dan menghantar menjemput anak-anak ke sekolah, berteduh di jalan dari panas dan hujan. Malah anak-anak ada hati nak mengajak saya menjelajah ke Ulaanbaatar dengan hanya memandu ke sana. Sama gila anak-anak dengan Mommy nya. Tapi, itulah, syukur saya berkereta.
.
Saya… cukuplah dulu dengan apa yang ada. Pada diri. Walaupun masih banyak ilmu dan keredhaan yang saya cari, untunglah saya masih ada waktu, hidup dan bernafas hari ini. Nikmat yang Tuhan beri untuk saya; sihat, kuat, cergas walaupun saya mengaku ada masanya malas… saya bercukup-cukupan dengan apa yang ada. (Bukan berkucup-kucupan, okay.)
.
Cukuplah dulu.
Saya nak pergi meng-Google gambar-gambar Ulaanbaatar dan berangan-angan sejauh 6792.4km…
.
.
..
.
Leave a Reply