Walaupun saya tak bersalah, saya dengan rela hati akan memohon maaf secara terbuka kepada mereka yang telah, sedang dan akan mengaku kawan dengan saya di Facebook. Seperti kata mereka, “Friends say sorry, strangers don’t worry.”
.
Sudah-sudahlah dengan pengakuan saudara-saudari tersebut bahawa di antara kita ada sesuatu yang bernama persahabatan.
.
Oh Tuhanku, ampunkanlah akan kepuitisan ayatku itu tadi! Ayat yang hampir sama sebenarnya telah digunapakai semasa saya di Tingkatan 3K Sekolah Menengah Kamunting, Taiping. Ianya telah ditulis di atas sekeping pinggan kertas sebagai tanda kenangan hari terakhir bersama-sama rakan sekelas saya. Setiap pinggan tertulis mutiara kata yang berbeza dan kami semua menandatangani pinggan-pinggan tersebut dengan penuh perasaan mengalahkan autograf pelakon tambahan yang sangat perasan.
.
Dan beliau yang bertuah mendapat pinggan kertas dengan mutiara kata tersebut, tak lain dan tak bukan, tiada dua, tiada tiga… sahabat saya yang akrab lagi suka makan Chili Crab, Saudara Mohd Zahidi Ishak. Ya, beliau adalah kawan saya di Facebook, Facelift, Face-Off dan Angel Face the Face Compact Powder. Pendek kata beliau telah bersama-sama saya dan KaCher dalam hampir setiap fasa kehidupan kami.
.
“Antara kita ada sesuatu yang bernama kenangan.”
.
Nah, itu maksudnya kita berkawan. Kita ada kenangan. Tak kiralah kenangan zaman Pop Yeh Yeh ke, zaman Tadika KEMAS Kg. Pinang ke, zaman Body Shop’s perfume ranging from White Musk dan Dewberry ke, atau zaman bertenet 5 Ringgit sejam di Cyber Cafe Kajang bertempat di tingkat atas sederet dengan McDonald’s setentang Kedai Buku Czip Lee ke. ‘Bila’ itu tak menjadi soal. Pokoknya ada yang dapat kita senyum-sengihkan bila terkenang.
.
Seperti senyum saya yang tersimpul mati, dan setelah mati ia hidup kembali apabila bertemu dengan seorang sahabat lama yang mencari saya di Facebook. Sambil menulis perenggan ini, saya masih lagi tersenyum mengenangkan kisah ‘Kasih Tak Sampai’ di zaman sebelum saya kuat berlari dulu. (Dulu, kaki tak larat, badan pun berat. Ralat!)
.
Antara yang saya ingat ialah, saya lari jauh daripada beliau kerana beliau sangat delicious. Setiap yang saya impikan… ada dalam senyumnya, ada dalam biceps dan tricepsnya, ada dalam professionnya. Yang tak ada cuma saya. Saya berlari jauh mencari diri saya sendiri yang rupanya telah pergi ke Ostrolia meninggalkan saya. Tinggi di awan biru, sedikit tidak menunggu daku! Nasib baik tiket murah waktu itu. Cuma RM900 pergi balik KUL-PER beli di Trimaflights, agen pelancongan yang beribupejabat dekat dengan Yaohan The Mall.
.
Kepada Lieutenant Commander Deli anak Cious:
Kalau tuan mudik ke hulu,
carikan saya bunga kemboja;
kot ye pun nak pergi dulu,
tinggalkanlah tiket di atas meja.
.
Setelah berkawan dan berkenang-kenangan dengan jejaka-jejaka di Facebook yang saya sebutkan sebagai contoh ini, sudah tentulah saya juga punya kawan baru. Namun (chewah! Namun ok? For some reason the word namun ni membuatkan saya terfikir perkataan-perkataan lain yang berakhir dengan ‘mun’ seperti timun, penyamun, semak-samun, Tutankhamun, dan Moon dan Dee dari rancangan Jangan Ketawa.)
.
Namun… namun ku punya hati. Tidaklah sampai ke hati saya untuk menebas semak-samun Facebook Friends List saya yang dilalangi ‘kawan’ yang saya sendiri pun tak tau anak siapakah mereka ini. (“Anak siapa menangis di jalanan, sungguh kasihan aku melihatnya…” – memetik lagu Herman Tino secara tiba-tiba.) Apatah lagi Wajah Siapakah Yang Dikau Cari bak kata Azlina Aziz. Ramai juga rupanya ‘kawan’ saya ini yang tak pernah pun berkawan dengan saya. Walaupun kawan secara tipu-tipu.
.
Maka dengan ini, saya dengan tangan, dada, zip, butang, cangkuk, pintu, tingkap, hati dan fikiran yang terbuka memohon maaf kepada kawan-kawan yang dengan secara tiba-tiba tak perasan pun saya tak ada dalam Facebook mereka kelak. Punyalah tak berkawan nya kita. Kerana saya cumalah seraut wajah yang terpampang di buku muka anda sebagai hiasan sahaja. Nasib baik lawa, dapat jugak menjadi hiasan.
.
Oh tidak, hentikanlah keangkuhanku ini! Cukup sampai di sini, sayang. Eherrrrrm… sayang ke?
.
.